PETINJU negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan menyalahkan pengadil sebagai punca dia gagal mempertahankan pingat emas selepas tewas 0-5 kepada petinju tuan rumah Filipina, Carlo Paalam menerusi kategori fly weight (49 kilogram) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina, hari ini.
Fuad yang meraih emas di Kuala Lumpur dua tahun lalu tumbang di peringkat separuh akhir dan hanya berpuas hati dengan membawa gangsa pada temasya kali ini.
Jelasnya, tindakan pengadil yang memberi kiraan berdiri seawal lima saat perlawanan dimulakan pada pusingan pertama nyata mengganggu tumpuannya.
Katanya, tumbukan petinju tuan rumah itu sebenarnya langsung tidak tepat menuju ke muka nya namun pengadil tetap memberikan kiraan berdiri kepadanya.
"Ketika pusingan pertama agak kacau sikit permainan saya sebab gangguan daripada pengadil awal-awal dah bagi 'standing count' kepada saya. Jadi ia buat saya hilang fokus dalam pusingan pertama.
“Dalam pusingan kedua saya cari balik rentak dan pusingan ketiga baru saya boleh dapat dalam 50 peratus permainan saya. Ini semua disebabkan pengadil yang banyak menyebelahi pihak lawan.
“Dalam sukan tinju ini kalau pengadil tak main peranan juri pula yang akan buat hal," katanya sejurus tamat aksi itu.
Pada edisi lalu, Fuad mencatat sejarah apabila merangkul pingat emas acara sama selepas menewaskan petinju Thailand, Thani Narinram, 5-0.
© New Straits Times Press (M) Bhd