Kuakan emas pertama Jinq En

JINQ En meraikan kemenangan dalam acara 50 meter kuak dada. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

SELEPAS tiga hari yang suram, Phee Jinq En menceriakan kem renang negara apabila meraih pingat emas menerusi acara 50 meter kuak dada wanita dengan catatan 31.40 saat hari ini.

Jinq En sendiri mengakui lega kerana penantian emas diharapkan untuk kem renang negara akhirnya tercapai juga selain turut gembira kerana catatan dilakukannya itu menyamai peringkat saringan pada sebelah pagi yang juga rekod baru kebangsaan.

Dia memadamkan rekod kebangsaan miliknya sendiri 31.46s yang dilakukan pada Sukan Asia Palembang tahun lalu.

"Sudah memasuki hari ketiga acara renang dan saya amat memerlukan pingat emas ini. Oh Tuhan, saya menerima saingan sangat sengit. Kebiasaannya saya agak perlahan di sebelah petang kerana kepenatan tetapi saya benar-benar mahukan kemenangan ini," katanya.

Jenjira Srisa Ard dari Thailand meraih perak dengan catatan 31.41s, hanya tewas 0.01 di belakang Jinq En manakala perenang Singapura, Christie Chue gangsa selepas melakukan catatan 31.43.

Ini emas pertama di raih Jinq En dalam acara itu selepas meraih perak pada edisi 2015 di Singapura dan 2017 di Kuala Lumpur. Jinq En mempunyai satu misi lagi untuk mempertahankan pingat emas dimenanginya dua tahun lalu di Kuala Lumpur dalam acara 100 meter kuak dada.

Semalam perenang berusia 22 tahun itu memperoleh satu gangsa menerusi acara 200m kuak dada. Malaysia juga meraih gangsa hari ini menerusi Khiew Hoe Yean dalam acara 200m kuak lentang dengan catatan 2:03.89s.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 06 Dec 2019