Aaron-Wooi Yik enggan terlalu yakin

AARON dan Wooi Yik dijangka mara ke final acara beregu. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

TAHAP motivasi beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada pada paras terbaik apabila kedua-duanya bersedia untuk memenangi pingat emas di Sukan Sea 2019 Filipina.

Pasangan ranking ke-12 dunia sebelum ini mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Kemboja, Leng Sopheaktra-Saom Dyna 21-9, 21-5 dalam aksi pusingan pertama di Kompleks Sukan Muntinlupa, hari ini.

Mereka akan bertemu pasangan Singapura, Terry Hee-Ade Yusuf Santoso esok.

Menurut Aaron, lawan sebenar yang mungkin mampu menggugat impiannya dan Wooi Yik adalah pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto.

Namun, berdasarkan rekod pertemuan mereka sebelum ini, ia jelas memihak pasangan negara apabila meraih tiga kemenangan dalam tiga pertemuan lalu termasuk ketika final acara berpasukan, Selasa lalu.

Jika semua berjalan lancar, kedua-dua pasangan itu akan membuat perhitungan pada aksi final, Isnin ini.

"Sudah pasti kemenangan ke atas mereka ketika final acara berpasukan itu meningkatkan lagi tahap keyakinan kami. Memang harapan kami untuk mendapatkan emas buat Malaysia.

"Namun, kami tidak mahu terlalu fikirkan sangat kerana bimbang ia boleh mendatangkan tekanan kepada kami. Jadi, lebih baik kami fokus satu demi satu perlawanan. Mereka tetap pencabar utama kami dan apa jua boleh berlaku, kami perlu kekal fokus," kata Aaron.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 06 Dec 2019