Tak habis lagi pasal formasi?

KIM Swee selar segelintir pihak pertikai tindakannya. FOTO Osman Adnan
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

SENARIO bola sepak Asia Tenggara sudah berubah dan skuad kerdil yang satu ketika dulu dianggap ‘lauk’ seperti Filipina, Kemboja dan Laos sudah mempamerkan peningkatan hingga mampu mengejutkan pasukan handalan.

Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee berkata, kegagalan skuad negara layak ke separuh akhir Sukan Sea memberi dua pengajaran berguna untuk kepentingan masa depan.

“Pengajaran paling berguna ialah persiapan yang dilakukan. Perkara kedua ialah pasukan seperti Filipina, Kemboja dan Laos bukan lagi lawan yang kita boleh kalahkan setiap masa.

“Mereka sudah bertambah baik dan kita harus ingat kalau tidak bersiap sedia pada edisi akan datang perkara sama akan berulang kembali,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam kelmarin.

Sementara itu, pengendali kelahiran Melaka itu turut menyelar mereka yang mempertikaikan formasi digunakannya di Sukan Sea Filipina 2019.

Menurut Kim Swee, tiada masalah dari segi formasi yang digunakannya cuma hanya segelintir pembaca dan pemberita sukan mempertikainya untuk mendapatkan publisiti.

“Saya percaya mereka hanya pandai bercakap dan inginkan publisiti,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan di kejohanan lalu dengan menggunakan sistem sama tidak pula dipertikaikan.

“Jadi ini semua hanya hendak menimbulkan beberapa isu apabila pasukan tewas. Ini kebiasaan yang berlaku dan bagi saya tiada masalah dengan formasi 3-4-3, 4-3-3 atau apa jua pun,” katanya.

Kim Swee, 49, yang sudah berkhidmat hampir 10 tahun bersama badan induk itu gagal mencapai misi layak ke final Sukan Sea 2019 selepas pasukannya terkandas pada peringkat kumpulan.

Dua kekalahan memalukan kepada Filipina (0-1) dan Kemboja (1-3) menyaksikan impian Malaysia untuk mengulangi pencapaian gemilang 2011 memenangi emas yang ketika itu turut dibimbingnya berkecai di bumi Filipina.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 07 Dec 2019