Izzah, Sie Yan sama-sama dapat emas

SIE YAN dan Izzah masing-masing meraih 15.200 mata untuk dikalungkan pingat emas. FOTO OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

BANTAHAN kontinjen negara terhadap keputusan juri dalam acara aparatus riben wanita membuahkan hasil apabila dua gimnas negara meraih dua pingat emas selepas Koi Sie Yan dan Izzah Amzan mengumpul mata sama dalam acara itu di Kompleks Sukan Memorial Rizal di Manila, harin ini.

Sie Yan dan Izzah masing-masing meraih 15.200 mata untuk dikalungkan pingat emas manakala gimnas Thailand, Nat Kulsanawong membawa pulang gangsa selepas mengumpul 14.050 mata.

Berdasarkan keputusan awal juri, Sie Yan diangkat sebagai pemenang dengan alasan markah rutin atlet berusia 20 tahun itu lebih tinggi.

Namun, keputusan itu berubah selepas Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria membantah keputusan itu.

Berdasarkan peraturan pertandingan, atlet yang meraih jumlah mata sama harus diberi kemenangan bersama seperti yang pernah berlaku pada temasya Sukan Sea sebelum ini.

Upacara penyampaian pingat yang tertangguh selama satu jam akhirnya diteruskan dengan kedua-dua atlet negara diumumkan sebagai pemenang pingat emas.

Menurut Sie Yan, ia emas keduanya yang dikongsi selepas insiden sama turut berlaku ketika di Singapura pada 2015.

Katanya, waktu itu, dia berkongsi pingat emas dengan rakan sepasukan N Shasangari Sivaneswari dalam acara individu keseluruhan.

Selain emas dalam acara riben, Izzah turut memenangi acara bola dengan melakar 17.800 mata serta perak dalam acara gelung.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 07 Dec 2019