PERSEKUTUAN Gimnastik Malaysia (MGF) melahirkan kekecewaan di atas pengadilan yang disifatkan berat sebelah dan penuh dengan penipuan terutama dalam acara gimrama yang berlangsung di Colosium Memorial Rizal, Manila hari ini.
Presiden MGF, Rachel Lau berkata, walaupun skuad negara berjaya menyapu empat pingat emas daripada lima acara gimrama yang dipertandingkan kali ini, kemenangan atlet tuan rumah, Daniela Dela Pisa menerusi aparatus gegelung boleh dipertikaikan ekoran beberapa kesilapan yang dilakukan atlet itu.
Malah, beliau turut mempersoalkan keputusan awal juri yang hanya memberi Koi Sie Yan pingat emas dalam acara riben sedangkan pungutan matanya adalah sama dengan seorang lagi atlet negara, Izzah Amzan.
Begitupun, selepas bantahan dilakukan kontinjen negara, juri akhirnya memutuskan memberi dua pingat emas kepada Sie Yan dan Izzah.
"Saya rasa bangga dengan pencapaian atlet kita, bagaimanapun wujud beberapa unsur penipuan serta keputusan berat sebelah juri yang banyak memihak tuan rumah.
"Kami sudah menghantar bantahan kepada FIG (Persekutuan Gimnastik Antarabangsa) kerana ia adalah perkara serius.
"Mungkin disebabkan kita adalah kuasa besar dalam sukan gimnastik ini, jadi mereka sengaja bersikap tidak adil kepada kita.
"Bagi saya biarlah atlet bertanding secara sihat atas semangat sukanan," katanya.
Nada sama turut diluahkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang kesal dengan sikap tidak adil tuan rumah.
Bagaimanapun, Norza berharap barisan atlet dapat kekal fokus walaupun kemenangan pasukan cuba di sabotaj oleh pihak-pihak tertentu.
© New Straits Times Press (M) Bhd