Gandingan baharu dibentuk tuai emas

Nurul Hidayah (kanan) dan Jason Loo Jun Wei memenangi pingat Emas poomsae campuran di Sukan Sea. Foto Bernama
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

BIARPUN baru digandingkan pada Jun lalu, pasangan negara Jason Loo Jun Wei dan Nurul Hidayah Abdul Karim cemerlang memenangi pingat emas dalam sukan taekwando, di Kompleks Sukan Memorial Rizal, Manila, hari ini.

Kedua-dua gandingan itu menamatkan acara poomsae di kedudukan pertama dalam kategori campuran mengumpul 8.28 mata untuk mengatasi atlet Filipina, Rinna Babanto-Jacob Mella Dustin yang meraih 8.10 mata.

Pingat gangsa pula diraih pasangan Thailand, Pattarapong Sengmueang-Phenkanya Phaisankiattikun dengan 8.09 serta Indonesia Kadek Dwipayana-Defia Rosmaniar yang mengumpul 7.87 mata.

Menurut Hidayah, percaturan jurulatihnya yang menggandingkan dirinya dengan Jason Loo serta mengubah kategori daripada beregu wanita kepada campuran membuahkan hasil selepas dia sebelum ini kempunan meraih pingat di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Sebelum ini, ketika Sukan Sea Kuala Lumpur saya tak dapat pingat dalam acara beregu wanita.

"Tapi untuk Sukan Sea Filipina ini, jurulatih mahu saya beraksi dalam kategori campuran. Masa itu gandingan saya orang lain, tapi bulan enam yang lalu jurulatih cuba saya dengan Jason Loo. Tak sangka kami berjaya sampai ke tahap ini.” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 07 Dec 2019