Terima kasih Wendy!

WENDY (kiri) dan Dhabitah memperagakan pingat emas dimenangi. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

“WENDY dan tahap kesukaran menjadi penyelamat kami hari ini (semalam).”

Demikian pengakuan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang tidak dapat beraksi dengan baik, tetapi mujur rakan segandingan, Wendy Ng Yan Yee serta tahap kesukaran mereka membantu meraih pingat emas acara 3 meter papan anjal seirama wanita.

Ia juga adalah emas keempat berturut-turut dimenangi mereka berdua sejak digandingkan pada edisi 2013 di Myanmar.

“Kami sudah biasa bergandingan sejak sekian lama. Jadi, tidak sukar untuk mencari keserasian. Cuma kadang-kadang kami cuba untuk saling membantu antara satu sama lain.

“Seperti hari ini (semalam) saya beraksi kurang baik. Kami hadir ke sini pun pada saat akhir dan menamatkan saingan dengan pingat emas adalah sesuatu yang amat bermakna,” kata Dhabitah.

Gandingan negara itu meraih 270.60 mata manakala gandingan Singapura, Fong Kay Yian-Ashlee Tan meraih perak selepas mengumpul 228.06 mata.

Gangsa milik Surincha Booranapol-Ramanya Yanmongkon dari Thailand yang meraih 208.14 mata.

Terjun yang menutup tirainya semalam, menepati sasaran membolot semua empat pingat emas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 08 Dec 2019