“Saya minta maaf. Saya sudah buat yang terbaik, tetapi masih lagi tidak berjaya.”
Demikian nada kecewa atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong yang hanya mampu membawa pulang pingat perak, sekali gus gagal mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu di Kuala Lumpur.
Jackie yang menjadi antara prospek utama untuk memenangi emas oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), hanya mampu melakukan balingan terbaik 63.83 meter (m).
Catatan itu jauh daripada rekod kebangsaan 68.22m miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga KOM, Ogos lalu.
“Saya tak pasti apa yang berlaku sebab jika melihat kepada jarak memang di situ, tetapi bacaan keluar 62 dan 63m. Rasanya prestasi dan teknik saya tidak terlalu teruk.
“Mungkin ada sedikit rasa tekanan, tetapi saya dah persiapkan diri dari segi mental, tetapi mungkin banyak lagi yang perlu saya pertingkatkan selepas Sukan Sea nanti,” katanya.
Emas dimenangi atlet Thailand, Kittipong Boonmawan dengan jarak 67.56m, manakala gangsa milik atlet Myanmar, Aung Ye Htet yang melakukan balingan 58.88m.
Sementara itu, atlet lompat jauh negara, Andre Anura Anuar turut meraih perak selepas melakukan lompatan sejauh 8.02 meter, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan milik Josbert Tinus 7.88m yang dilakukan 2007 di Bangkok.
Pelari pecut negara, Russel Alexander Nasir Taib pula gagal dalam percubaan sulungnya di Sukan Sea apabila sekadar meraih pingat gangsa dalam acara 200m dengan catatan 21.11 saat (s).
Atlet lompat bergalah, Iskandar Alwi turut meraih gangsa dengan ketinggian 5 meter.
Dalam perkembangan lain, impian Welson Sim mempertahankan pingat emas menerusi acara 200 meter gaya bebas tidak kesampaian apabila dia sekadar berpuas hati dengan meraih pingat perak.
Perenang berusia 22 tahun itu mencatat masa 1:48.52 saat (s), tewas kepada perenang Singpura, Darren Chua yang mencatat 1:48.26s manakala Quy Phuoc Hoang dari Vietnam mencatat 1:48.59s untuk gangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd