Gimrama tak tergugat

SKUAD gimrama hadiah emas kesembilan buat negara. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

SKUAD gimrama berpasukan wanita menutup gelanggang dengan emas kesembilan daripada sukan gimnastik selepas melakar pungutan mata tertinggi di Colosium Memorial Rizal, Manila, semalam.

Pasukan wanita negara yang terdiri daripada enam atlet iaitu Chan Mei Thung, Eu Jia Xin, Koh Jei Yi, Lee Xin Yao, Lim Chyi Ean dan Shak Yuki meraih 40.050 mata, sekali gus mempertahankan emas dimenangi edisi lalu.

Pingat perak diraih pasukan Thailand dengan 39.900 mata, manakala Filipina dengan gangsa 29.150 mata.

Ketua pasukan, Mei Thung berkata, rakan-rakannya memberi aksi terbaik dengan masing-masing menunjukkan tahap persefahaman tinggi.

“Kita melakukan rutin serentak dan mengikut irama lagu dengan baik sekali. Walaupun dicabar pasukan Thailand dan Filipina, kita tetap fokus dan tidak mengendahkan sorakan penyokong tuan rumah.

“Ini adalah hadiah bermakna dan ia adalah emas kedua selepas kami menang di Sukan Sea dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi semalam.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini hanya menetapkan sasaran enam emas daripada sukan gimnastik.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 08 Dec 2019