Tebus hampa

PREM (kanan) menentang atlet karate Filipina, Norman Marz Montalvo dalam aksi kumite bawah 55 kilogram, semalam. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

KEKALAHAN dua tahun lalu di Kuala Lumpur berjaya ditebus atlet karate negara, S Prem Kumar selepas meraih pingat emas dalam acara kumite bawah 55 kilogram di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Manila, semalam.

Dalam aksi final yang dipenuhi puluhan penyokong tuan rumah itu, Prem Kumar mudah membenam cabaran Normanz Marz Montalvo dengan 6-1 yang menyaksikan suasana WTC bertukar senyap selepas kemenangan Malaysia itu.

“Saya tewas di tempat sendiri (2017) tetapi saya ambil semula di Filipina. Saya tidak peduli pun dengan sokongan padu yang diberikan penonton kepada lawan saya kerana saya anggap mereka sebenarnya memberi sokongan kepada saya.

“Itu membuatkan saya bertambah yakin. Saya memang sudah bersedia sepenuhnya aspek mental dan fizikal untuk saingan kali ini,” katanya yang tewas kepada John Paul Bejar dalam aksi separuh akhir di Kuala Lumpur sekali gus sekadar meraih gangsa.

Dia yang pernah memenangi gangsa acara kumite bawah 60kg pada Sukan Asia 2018 di Jakarta mengakui mahu meneruskan legasinya dalam sukan tempur itu seperti atlet senior yang lain sebelum ini.

Untuk rekod, R Loganesha, R Puvaneswaran dan P Ramasaniv adalah antara atlet karate paling berjaya dalam sejarah Sukan Sea.

Puvaneswaran paling cemerlang apabila tiga kali memenangi emas di temasya dwitahunan itu bermula 2001 di Kuala Lumpur diikuti 2007 di Korat dan 2009 di Vientiane.

Loganesha menang pada edisi 2011 di Jakarta manakala Ramasaniv mengungguli saingan edisi 2005 di Manila.

“Saya perlu berterima kasih kepada mereka kerana selepas mereka bersara barulah saya dapat peluang mengambil bahagian dalam acara ini. Mereka adalah senior yang hebat dan jaguh di Asia.

“Saya harap boleh mengikut jejak mereka dan saya mahu buktikan kemampuan saya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 08 Dec 2019