Saya tak boleh mengalah - Megat

Megat Zulkarnain (tengah) tidak mahu berputus asa. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

MESKIPUN dilihat cukup sukar untuk melepasi sasaran 70 pingat emas, Ketua Kontinjen ke Sukan Sea (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin tetap tidak mahu mengalah.

Jelas Megat, ketika ini beliau mengharapkan beberapa acara yang tidak diletakkan sebagai prospek untuk memenangi emas mampu membuat kejutan.

"Saya tak boleh hendak berputus asa. Takkan saya nak kata tak boleh (capai sasaran).

"Saya orang silat dan orang silat ini perlu bersaing sampai ke hujung. Selepas itu barulah kita lihat apa keputusannya nanti.

"Yang penting sekarang mesti lawan dulu. Ini adalah pendekatan saya".

"Masih ada beberapa hari lagi dan saya percaya ada acara yang boleh buat kejutan," katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini mengumumkan jumlah sasaran itu berkata, jika sasaran berjaya dicapai, ia akan mengatasi pencapaian terbaik kontinjen negara di luar Kuala Lumpur iaitu Sukan Sea 2007 di Korat, Thailand menyaksikan Malaysia meraih 68 emas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 08 Dec 2019