Grace kuasai acara papan selaju

Grace Wong (tengah) berjaya merangkul pingat emas dalam acara papan selaju kategori Downhill Sukan Sea Filipina. Gambar Ihsan Pembaca
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

PENDEDAHAN latihan dan pertandingan di sekitar Eropah sejak awal tahun ini akhirnya menuai hasil apabila atlet papan selaju wanita negara, Grace Wong memenangi pingat emas dalam acara downhill di South Luzon, Manila, hari ini.

Dia yang tidak diletakkan harapan tinggi dalam acara itu bagaimanapun membuktikan sebaliknya apabila berjaya mengenepikan cabaran atlet Thailand, Nuansamorn Pimchua yang memenangi pingat perak dan wakil tuan rumah Filipina, Grace Abarico Rydelle memperoleh gangsa.

Pengurus pasukan, Ahmad Idroose Mohad Tambarin berkata, emas yang dimenangi Grace dianggap sebagai bonus buat pasukan berkenaan selepas hanya meletakkan sasaran membawa pulang dua perak dan satu gangsa.

"Sasaran kami untuk Grace adalah perak kerana cabaran dalam acara ini cukup sengit. Di pusingan awal lagi, saingan memang sengit apatah lagi tuan rumah mempunyai dua atlet yang mengambil bahagian.

"Pecutan dan potongan selekoh yang baik daripada Grace membuatkan peserta tuan rumah tidak dapat mengawal perlumbaan sekali gus membuka ruang buat Grace memenanginya," katanya.

Pasukan papan selaju negara turut meraih satu gangsa pada temasya kali ini menerusi Luqman Hakimi Ahmad Shahrafidz dalam saingan downhill lelaki.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 08 Dec 2019