Haiqal sukar dikejar!

AKSI Haiqal Hanafi ketika acara pecut 100 meter.

CLARK: Gelaran Raja Pecut Asia Tenggara kekal milik Malaysia selepas Haiqal Hanafi mengungguli acara pecut 100 meter dengan catatan 10.35 saat sekali gus catatan terbaik peribadinya di Stadium Olahraga New Clark City semalam.

Haiqal meneruskan legasi Khairul Hafiz Jantan yang tidak beraksi menerusi acara riben biru itu pada edisi kali ini selepas memegang gelaran sama dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Pada aksi final, Haiqal diapit dua pelari pecut Thailand, Sowan Ruttanapon dan Bandit Chuangchai yang masing-masing meraih perak dan gangsa dengan catatan 10.49s serta 10.52s.

“Saya hanya kosongkan fikiran dan fokus kepada diri sendiri. Saya mahu buktikan kepada semua yang saya juga boleh melakukannya.

“Di pertengahan perlumbaan saya sedar sudah di depan berbanding dua pelari Thailand dan hanya fokus larian hingga ke garisan penamat,” katanya.

Jelas Haiqal, kata-kata nasihat daripada Khairul sebelum turun beraksi turut membantunya pada perlumbaan final.

“Kejayaan ini amat bermakna kerana ia paling besar dalam karier saya sebab kali pertama saya beraksi dalam acara individu.

“Saya sendiri tidak menjangka mampu memenanginya.

“Saya juga dapat buktikan tanpa jurulatih (Mohd Poad Md Kassim) di sini, bukan alasan untuk saya gagal berikan yang terbaik,” katanya.

Haiqal sudah memberikan bayangan mampu melakukan sesuatu pada aksi final apabila berjaya mencatat 10.39s pada peringkat saringan di sebelah pagi untuk catatan kedua terpantas.

Ketika itu dia hanya ketinggalan 0.04s di belakang Sowan yang mencatat masa terpantas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 09 Dec 2019