Joko terharu sikap terpuji atlet Filipina

CASUGAY (kanan) menyelamatkan Arip daripada lemas. FOTO Twitter Joko Widodo
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo menzahirkan penghormatan atas tindakan terpuji peluncur Filipina yang menyelamatkan atlet negara jiran itu daripada lemas ketika aksi Sukan Sea, semalam. 

"Memenangkan kompetisi (pertandingan) dan menjunjung sportivitas (semangat kesukanan) itu penting, tapi kemanusiaan di atas segalanya.   Apresiasi saya untuk Roger Casugay, peselancar (peluncur) Filipina yang melepas kesempatan meraih emas demi menolong atlet Indonesia yang terjatuh dalam lomba (saingan).  Salam hormat dari Indonesia," tulis Jokowi menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya.  

Ciapan pada jam 9.44 pagi tadi itu menerima ribuan tanda suka pengikut yang memuji semangat kesukanan dan tindakan murni atlet negara tuan rumah berkenaan.  

Memetik laporan Agensi, Casugay sanggup melepaskan peluang memenangi  emas demi menyelamatkan peluncur Indonesia, Arip Nurhidayat yang juga pesaingnya daripada lemas.   Dalam insiden ketika acara longboard lelaki di La Union itu, tali papan luncur Arip dikatakan terputus hingga menyebabkan dia dihanyutkan ombak tinggi.  

Melihat keadaan itu, Casugay tidak berfikir panjang dan segera melupakan saingan untuk menyelamatkan Arip.  

Tindakan itu amat menyentuh hati dan menerima pujian warganet apatah lagi ia membabitkan soal nyawa.   Ia turut dikongsi laman rasmi Sukan Sea Filipina 2019 yang menganggapnya seiring dengan semangat tema temasya sukan berkenaan, #WeWinAsOne.   Rakan Casugay turut mengakui pemuda itu mempunyai hati yang baik dan media sosial kini dibanjiri pujian netizen terhadap atlet berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 09 Dec 2019