Badminton bangga raih 3 emas

KISONA berjaya mempertahankan emas dimenangi Goh Jin Wei dua tahun lalu. — FOTO BBXpress
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

GELANGGANG badminton Kompleks Sukan Muntinlupa di Manila menjadi saksi kehebatan skuad badminton negara apabila meraih tiga pingat emas daripada lima yang dipertandingkan dalam acara individu.

Pesta kem negara dimulakan dengan kemenangan pemain perseorangan wanita, S Kisona yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menumbangkan pemain Indonesia, Ruselli Hartawan 20-22, 21-14, 21-13.

Rentak cemerlang itu kemudiannya diteruskan oleh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang mempamerkan prestasi sempurna dengan menumbangkan pemain Singapura, Loh Kean Yew 21-18, 21-18 untuk meraih emas.

Kecemerlangan itu diteruskan dengan pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dipaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan gandingan Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit 18-21, 21-15, 21-16 sekali gus emas ketiga buat kontinjen negara.

Terdahulu, dalam aksi final beregu campuran, nasib tidak menyebelahi pasangan negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Mereka tewas di tangan pilihan utama dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 19-21, 21-19, 21-23.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 09 Dec 2019