Tidak masuk akal! : Syed Saddiq

Saddiq pada upacara kalungan pingat kepada Izzah. FOTO Twitter Syed Saddiq
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan keputusan penganjur menarik balik pingat emas atlet gimrama, Izzah Amzan pada Sukan Sea Filipina sebagai tidak masuk akal.

"Di atas nasihat penganjur, saya sendiri kalungkan pingat emas Izzah.

Mengikut Teknikal Handbook (Buku Teknikal) penganjur pun, membenarkan pingat emas Izzah.

"I will not tolerate this (saya tidak bertolak ansur mengenainya). Team MAS (Malaysia) sudah protest (membantah) dan tuntut keadilan.

"Mereka dah beri, sekarang nak tarik balik? Tidak masuk akal," tulis Syed Saddiq menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya, sebentar tadi.

Kontinjen negara kehilangan satu emas yang dimenangi Izzah selepas Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Filipina (PHISGOC) menarik balik pingat dalam acara riben, Sabtu lalu.

Izzah sebelum ini diumum sebagai pemenang emas bersama dengan rakan senegara, Koi Sie Yan selepas kedua-dua atlet itu mengumpul mata sama dalam apparatus wanita akhir di Kompleks Sukan Memorial Rizal.

Sebaliknya, Izzah sekadar diberikan perak berdasarkan kedudukan pingat terbaru yang disiarkan di laman web rasmi Sukan Sea 2019 Filipina.

Difahamkan, ketua kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada penganjur berhubung keputusan itu pada mesyuarat ketua kontinjen hari ini.

Terdahulu, bantahan kontinjen Malaysia terhadap keputusan juri dalam acara riben membuahkan hasil apabila dua gimnas negara itu meraih dua emas selepas mengumpul 15.200 mata.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 09 Dec 2019