Kejayaan sofbol wanita imbau kenangan wakili negara

ZURAIDA (tengah) bergambar bersama pasukan Sofbol negara ketika menyambut ketibaan mereka di KLIA. FOTO BERNAMA
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

KEJAYAAN skuad sofbol wanita negara meraih pingat gangsa dalam Sukan SEA, sekali gus mengakhiri kemarau 40 tahun kerana buat pertama kali dalam sejarah memenangi pingat itu turut mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Ketika menyambut kepulangan pasukan terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau melahirkan rasa bangga atas kejayaan skuad terbabit.

“Selama 40 tahun dan Malaysia memecah kemarau kerana tidak pernah memenangi acara sofbol wanita. Mereka ini mengharumkan nama negara dan saya juga turun di Manila, Filipina melihat permainan mereka.

“Mutu permainan mereka sangat tinggi dan baik. Jika dikekalkan dan dilatih, akan memecah rekod lagi.

“Tahniah kepada pengurus pasukan, jurulatih dan 17 pemain bagi skuad ini. Kita mahu mereka kekalkan semangat kerjasama pasukan ini,” katanya ketika ditemui pada sambutan ketibaan skuad sofbol wanita negara di KLIA, Sepang, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi pengalaman dan mengimbau kenangan ketika mewakili negara dalam acara sofbol.

“Saya pernah menjadi pemain negara sekitar 1970-an dan 1980-an manakala pada 40 tahun lalu, pernah memenangi pingat gangsa dalam Sukan SEA 1979 di Jakarta, Indonesia.

“Justeru, saya akan memberi sokongan dan galakan kepada mereka (skuad sofbol) untuk terus maju dalam sukan ini,” katanya.

Menerusi kenyataan Facebook Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini, sempena Sukan SEA ke-30 di Filipina, sofbol dijadikan sebagai sukan angkat di peringkat kementerian.

Skuad sofbol wanita negara tewas dengan Filipina pada pusingan separuh akhir Sukan SEA dan meraih pingat gangsa.

Sementara itu, ketua pasukan skuad sofbol wanita negara, Ngo Siew Ting, 24, menyifatkan corak permainan Malaysia pada Suka SEA kali ini bertambah baik berbanding sebelum ini.

“Kita bermain dengan baik untuk Sukan SEA kali ini kerana sudah melakukan persediaan dari awal tahun yang mana latihan cukup baik ditambah sokongan jurulatih termasuk dari luar negara.

“Nampak jauh berbeza dari tahun sebelum ini kerana hampir 80 peratus pemain adalah dari Sukan SEA 2015 dan sehingga sekarang. Dalam empat tahun ini, nampak meningkat cukup baik.

“Kita memang sasarkan gangsa kerana sudah 40 tahun tidak mendapat pingat. Empat tahun lalu mungkin kami masih junior lagi, jadi memang tak boleh bersaing dengan negara jiran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 10 Dec 2019