Rayzam lebih berhak raih emas

RAYZAM (dua dari kanan) dan Clinton bersaing sengit dalam acara 110 meter (m) berpagar. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

"PADA saya ia (pingat emas) sudah dirompak kerana kami sudah mengikut segala prosedur tetapi tidak diendahkan. Saya rasa pingat emas itu sepatutnya dimenangi Rayzam."

Demikian nada kesal ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil berhubung kontroversi kekalahan pelari 110 meter (m) berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian kepada peserta tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista semalam.

Meskipun Rayzam serta Clinton melintasi garisan penamat dengan catatan masa sama iaitu 13.97 saat (s), namun keputusan 'photo finish' memihak peserta tuan rumah sekali gus menyaksikan Rayzam gagal mempertahankan emas g dimenangi dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

"Proses untuk menidakkan pelari Filipina mendapatkan emas sudah pun dilakukan dengan mengemukakan protes secara lisan dan bertulis. Bagaimanapun, saya melihat usaha kami di pandang remeh pihak penganjur," katanya.

Dakwa Mohd Manshahar, penjurian juga tidak mengikut prosedur badan olahraga dunia.

"Kami memohon daripada pelbagai sudut terknikal. Pertama kami mohon untuk melihat ulang tayang video sebenar tetapi tidak dibenarkan pihak teknikal dan penganjur.

"Kemudian kami memohon melihat gambar daripada pelbagai sudut tetapi hanya diberikan sekeping gambar hitam putih yang sepatutnya berwarna.

"Gambar itu pula hanya pandangan sudut di sebelah kanan yang menyaksikan seolah-olah peserta tuan rumah melebihi Rayzam," katanya. Justeru itu katanya perkara itu akan dibawa ke panel abritasi Persekutuan Sukan Sea (SGF).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Selasa, 10 Dec 2019