Hoki dalam dewan sapu bersih

ANAK buah Dhaarma (jersi putih) beraksi menentang Thailand pada final. — FOTO Majlis Sukan Negara
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

SKUAD hoki wanita dalam dewan akhirnya ‘melangsaikan hutang’ lama apabila menewaskan Thailand pada aksi final Sukan Sea di Manila, hari ini.

Skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah yang menjadi mangsa permainan ‘kotor’ Thailand dua tahun lalu di Kuala Lumpur, meraih pingat emas pada edisi ke-30 ini selepas memenangi penentuan penalti 2-0 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Pada edisi lalu, Thailand sengaja tewas kepada Indonesia pada aksi terakhir peringkat liga sepusingan bagi menyingkirkan Malaysia daripada menamatkan kedudukan dua teratas untuk ke final.

Sebaliknya ketika di perlawanan akhir, Thailand mempamerkan belang sebenar apabila membelasah Indonesia 4-1 untuk merangkul emas di Kuala Lumpur.

Sementara itu, skuad hoki lelaki negara bimbingan Muhammad Amin Rahim mengekalkan pingat emas dimenangi dua tahun lalu apabila menumbangkan Thailand 3-1.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 10 Dec 2019