Kejayaan 'bidan terjun' banggakan Norza

KISONA muncul juara sekalipun dia sekadar pengganti Jin Wei. — FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

KEPUTUSAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan beberapa pemain muda pada temasya Sukan Sea Filipina dilihat tepat dalam meneruskan dominasi Malaysia di pentas antarabangsa.

Paling mencuri tumpuan pemain perseorangan wanita negara, S Kisona yang mengejutkan banyak pihak ketika dia sekadar hadir untuk menggantikan tempat Goh Jin Wei yang diketepikan susulan masalah kesihatan.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria berkata, kejayaan skuad badminton meraih tiga emas bukan saja mengatasi sasaran satu emas yang ditetapkan malah ia petanda baik buat masa depan pasukan.

“Saya amat bangga dengan pencapaian skuad badminton kali ini. Paling bangga tiga emas yang disumbangkan hadir menerusi pemain muda.

“Mereka adalah masa depan badminton negara. Ini permulaan terbaik untuk mereka dan diharapkan mereka terus cemerlang di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain Kisona yang memenangi emas dalam acara perseorangan wanita, kem badminton negara turut cemerlang mengungguli beregu lelaki menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta perseorangan lelaki Lee Zii Jia.

Malah, kejayaan itu adalah yang terbaik di Sukan Sea sejak kali terakhir dilakukan pada 1975 yang turut menyaksikan skuad negara membawa pulang tiga emas.

Secara keseluruhan, badminton menyumbang 10 pingat buat kontinjen negara dengan tiga emas, dua perak dan lima gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 10 Dec 2019