PENCAPAIAN dua pingat emas Sukan Sea Filipina menjadi azimat berharga buat pasukan silat kebangsaan untuk terus melakar kejayaan pada kejohanan Pencak Silat Asia di China, hujung bulan ini.
Cabaran yang julung kali berlangsung di Yanji bermula 25 Disember ini akan digalas seramai 27 pesilat termasuk dua jaguh negara, Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir.
Naib Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Zaihan Mohd Isa berkata, skuad silat dijadualkan berlepas ke negara itu lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk.
“Kami akan bertolak pada 20 Disember kerana keadaan cuaca di utara China itu sememangnya amat sejuk ketika ini dan memaksa atlet untuk menyesuaikan diri sebelum kejohanan bermula.
“Setakat ini, kami tidak menetapkan sasaran namun kejayaan meraih dua emas di Filipina menyuntik semangat baharu untuk memberi saingan sengit dan melakar kejayaan berganda,” katanya kepada Arena Metro.
Menurutnya, kem Malaysia dijangka berdepan tentangan pesilat Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura.
“Namun, kami percaya aura kejayaan pada Sukan Sea masih membara untuk bersaing dalam 20 acara yang dipertandingkan,” katanya.
Pada temasya di Filipina kali ini, silat menepati sasaran apabila menghadiahkan dua emas dan dua gangsa buat kontinjen negara.
Pingat emas diraih Zulfazly Zulfakar menerusi Kelas D (60-65kg) dan gandingan Taqiyuddin Hamid-Sazzlan Yuga dalam acara ganda putra.
© New Straits Times Press (M) Bhd