Syed Saddiq sakit apendiks

SYED Saddiq. FOTO arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terpaksa diterbangkan ke Malaysia dari Filipina malam tadi akibat masalah apendiks.

Sekali gus beliau terlepas menyaksikan secara langsung majlis penutupan rasmi Sukan Sea ke-30 di stadium terbesar dunia, Philippines Arena, di Bulacan, Manila Filipina, malam ini.

Menerusi kenyataan Pejabat Menteri Belia dan Sukan hari ini, Syed Saddiq dilaporkan selesai menjalani pembedahan di sebuah hospital di Kuala Lumpur yang tidak dinyatakan.

"Alhamdulillah pembedahan berkenaan berjaya dan beliau kini dalam keadaan stabil.

"Kami memohon agar beliau diberikan ruang untuk berehat dalam tempoh pemulihan ini dan tiada pelawat dibenarkan buat seketika waktu," katanya.

Difahamkan beliau sudah diberikan ubat ketika di Manila, namun terus dimasukkan ke hospital pada malam tadi setibanya di Kuala Lumpur akibat tidak dapat menahan kesakitan lagi.

Sebelum ini Syed Saddiq yang berada di Filipina sejak 6 Disember lalu bagi memberi sokongan kepada kontinjen negara.

Syed Saddiq yang kali pertama membawa kontinjen negara ke Sukan Sea sejak dilantik sebagai menteri, namun terpaksa menerima hakikat kegagalan mencapai sasaran 70 pingat ditetapkan.

Kontinjen negara sekadar menduduki tempat kelima dengan 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa sekali gus antara pencapaian terburuk kontinjen negara biarpun menghantar atlet kedua teramai di temasya di luar negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Rabu, 11 Dec 2019