Bantahan Rayzam tak dilayan

RAYZAM (dua kiri) kalah menerusi ‘photo finish.’ — FOTO Reuters
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

PELARI 110 meter berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian tetap kekal menyimpan pingat perak selepas bantahan yang dikemukakan kontinjen negara ditolak oleh panel abritasi Persekutuan Sukan Sea (SGF).

Perkara itu disahkan oleh Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Sea (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang jelas kecewa dengan keputusan itu.

Rayzam serta pelari tuan rumah, Clinton Bautista melintasi garisan penamat dengan catatan masa yang sama 13.97 saat, namun keputusan ‘photo finish’ memihak kepada peserta tuan rumah sekali gus menyaksikan Rayzam gagal mempertahankan emas yang dimenangi di Kuala Lumpur 2017.

“Saya dimaklumkan mereka menolak bantahan kami kerana acara penyampaian hadiah sudah berlangsung.

“Kedua kerana kononnya ‘photo finish’ menunjukkan pelari Filipina memenangi tempat pertama dan semua ini sudah saya jangkakan,” katanya.

Jelas Megat, kes Rayzam berbeza dengan atlet gimrama negara, Izzah Amzan apabila bantahan dilakukan terlebih dahulu dengan upacara penyampaian hadiah ditangguhkan seketika.

Pingat emas Izzah ditarik sebelum dipulangkan kembali selepas diumum sebagai pemenang bersama dengan rakan senegara, Koi Sie Yan.

“Sebab itu ketika kes gimrama tempoh hari saya minta upacara penyampaian hadiah jangan dilangsungkan dahulu.”

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 11 Dec 2019