KETUA jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil berharap pencapaian lebih baik akan dapat diraih oleh atlet negara pada edisi Sukan Sea dua tahun lagi di Hanoi.
Ia selepas olahraga memenuhi sasaran meraih lima pingat emas pada temasya kali ini meskipun ada beberapa atlet tumpuan gagal memenangi emas.
“Secara kesuruhan kami amat berpuas hati dengan pencapaian lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa.
“Tapi ada juga atlet yang gagal seperti Jackie Wong (baling tukul besi lelaki) yang kami jangkakan emas. Kami akan melakukan pasca nilai selepas ini untuk melihat punca kegagalannya itu.
“Bagi Grace Wong (baling tukul besi wanita) pula kami sememangnya meletakkannya untuk meraih perak kerana tahu prestasi semasanya.
“Bagi persediaan ke Vietnam, ia perlu bermula dari sekarang khususnya dalam soal pemilihan atlet dan jurulatih supaya memperoleh pencapaian lebih cemerlang,” katanya.
Jelas Manshahar, fokus paling dekat selepas ini adalah untuk mempersiapkan atlet bagi menghadapi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Persediaan sudah dilakukan sejak empat tahun lalu. Untuk tahun depan kami akan melihat siapa yang layak ke Sukan Olimpik dan kemudian akan mengatur perancangan terbaik untuk mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd