Selamat tinggal Filipina, jumpa di Hanoi!

SEBAHAGIAN atlet negara yang menyertai majlis penutup Sukan Sea ke-30 di Clark City, malam ini. — FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

TEMASYA Sukan Sea ke-30 di Filipina ditutup secara rasmi menerusi satu acara penuh gilang gemilang di Stadium Olahraga New Clark City hari ini.

Menerusi temasya bertemakan ‘We Win As One’ itu, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Filipina yang didendangkan oleh penyanyi tempatan Arnel Pineda.

Persembahan menggunakan dron selama 45 minit menjadi antara tarikan utama majlis penutup yang kemudian diikuti perarakan masuk ke stadium 11 kontinjen yang bertanding pada temasya kali ini.

Bagi menghargai usaha dan sumbangan pada temasya sukan dwitahunan itu, semua sukarelawan diraikan pada majlis penutup bersama kontinjen.

Kumpulan rock klasik, Ko Jones dan Journey kemudian menghiburkan penonton dengan persembahan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Filipina (Phisgoc), Alan Peter Cayetano menyampaikan empat anugerah utama iaitu atlet terbaik lelaki dan wanita, anugerah fair play dan juara keseluruhan iaitu Filipina.

Setiausaha Eksekutif Phisgoc, Salvador Medialdea kemudian mengumumkan temasya Sukan Sea Filipina ditutup secara rasmi dengan obor kejohanan dipadamkan.

Bendera kejohanan diturunkan sebelum lagu kebangsaan Vietnam dimainkan menandakan negara berikutnya yang akan menjadi tuan rumah pada 2021.

Kumpulan hip hop terkenal, Black Eyed Peas kemudian mengambil alih dengan menyanyikan beberapa lagu popular mereka sebelum penamatnya percikan bunga api menjadi kemuncak kepada majlis penutup.

Filipina muncul juara keseluruhan dengan 149 pingat emas, 117 perak dan 119 gangsa.

Kali terakhir Filipina muncul juara ketika menjadi tuan rumah pada 2005.

Kontinjen negara pula gagal melepasi sasaran 70 emas yang ditetapkan apabila meraih 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 11 Dec 2019