CLARK: Sukan Sea ke-30 yang berakhir secara rasmi semalam boleh dilabel sebagai temasya ‘cap ayam’ kerana jauh daripada kualiti sebenar untuk diangkat sebagai temasya dwitahunan terbaik dalam era moden.
Apa tidaknya, banyak isu berbangkit yang jelas mencacatkan temasya kali ini, tetapi yang amat pelik Filipina tetap dinobat sebagai temasya sukan terbaik oleh Anugerah Industri Sukan Asia (SPIA).
Ia bermula dengan isu beberapa venue sukan yang tidak siap pada saat akhir dengan kebanyakannya berlaku di Manila.
Kemudian tuan rumah dilihat bagaikan ‘syok sendiri’ apabila mempertandingkan acara yang tidak masuk akal.
Antaranya seperti sukan tarian yang jelas tidak masuk akal apabila peserta memakai sut bagi lelaki dan gaun untuk wanita sambil berpegang tangan menari ala majlis makan malam.
Bukan satu, tetapi banyak acara dipertandingkan dalam sukan tarian dengan tuan rumah seperti diramal mengungguli hampir semua emas yang dipertandingkan.
Ada beberapa lagi acara sukan seperti kurash, jiujitsu dan kick boxing yang rata-ratanya dikuasai atlet tuan rumah dipertandingkan pada kali ini.
Satu lagi yang menarik ialah Sukan Sea seperti disertai 12 negara berbanding kebiasaannya 11 negara.
Ini kerana Filipina ‘mengimport’ begitu banyak atlet luar semata-mata untuk memastikan mereka mendominasi acara tertentu.
Antaranya yang amat jelas adalah dalam sukan olahraga dan ragbi.
Skuad ragbi negara mungkin boleh mempertahankan emas jika tidak kerana pasukan Filipina yang semuanya menggunakan ‘pemain import’.
© New Straits Times Press (M) Bhd